Penjaga gol muda Terengganu, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin, sedia bersaing dengan Mohd Suhaimi Husin bagi merebut posisi penjaga gol utama Sang Penyu musim ini.

Ketiadaan Suhaimi yang masih dalam proses pemulihan kecederaan lutut menyaksikan pemain kelahiran Kampung Bukit Tunggal, Kuala Nerus itu diberi kepercayaan di benteng terakhir Terengganu dalam dua perlawanan pembukaan Liga Super yang lalu.

Tegas Syed, dia akan memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang diberikan Ketua Jurulatih, Tomislav Steinbruckner, bagi membuktikan kemampuannya sebagai salah seorang penjaga gol berpotensi.

Selepas dua perlawanan Liga Super, Syed berjaya mencatatkan satu perlawanan tanpa bolos ketika bertemu Penang Ahad lalu di samping sekali bolos ketika menentang Perak di Gong Badak 11 Mei lalu.



"Saya sangat bersyukur atas peluang beraksi. Saya masih belum berpuas hati dengan permainan saya, saya perlu memperbaiki lagi selepas ini," katanya menerusi Nadi Arena.