PENANG 1 TERENGGANU 1

Hasrat Terengganu FC untuk bangkit selepas dibelasah 0-4 ketika bertemu Sabah FC minggu lalu tidak menjadi kenyataan apabila dinafikan Penang FC pula dalam masa kecederaan sebentar tadi.

Penang sebaliknya menunjuk taring di depan penyokong sendiri dan hampir menggegar gawang pelawat pada minit ke-18.

Mujur penjaga gol, Rahadiazli Rahalim, tangkas menghidu percubaan bola muntah yang datang selepas itu.



Berselang beberapa minit, satu lagi peluang hadir daripada sepakan percuma Al-Hafiz Harun tetapi Abdul Abdeen Temitope tidak mempunyai ruang yang cukup untuk melepaskan rembatan.

Kem pelawat akhirnya memecah kebuntuan menerusi Syahmi Zamri ketika permainan berusia 66 minit tetapi usaha itu berkecai apabila Rafael Vitor menyelamatkan satu mata untuk Penang FC melalui sepakan penalti.

Insiden itu turut mengundang pertelagahan membabitkan pengadil, Zamzaidi Katimin, yang mengesan terpaan liar Rahadiazli di bahagian depan kotak penalti yang menyaksikan masa tambahan berlarutan lebih 9 minit.

Keputusan lain:

SRI PAHANG O JDT 2
PERAK 0 SABAH 1