Bersemangat di sebalik kembalinya penonton, Rory McIlroy yakin dia mampu mengakhiri kemarau kejuaraan utama dalam saingan Kejuaraan PGA US minggu ini.

McIlroy tiba di South Carolina berbekalkan kemenangan dalam saingan Kejuaraan Wells Fargo awal bulan ini.

Tidak sejak November 2019 McIlroy bergelar juara dalam saingan PGA atau Jelajah Eropah tetapi bekas pemain nombor satu dunia itu mengakhiri penantiannya di Quail Hollow.

McIlroy tidak memenangi gelaran utama sejak 2014, bagaimanapun juara PGA 2012 dan 2014 itu berasakan dia dalam keadaan terbaik bagi pusingan pembukaan Khamis ini.


"Saya sangat gembira dengan kualiti permainan yang mampu saya pamerkan ketika ini, jadi saya menjangkakan jika saya bermain seperti biasa dan melakukan apa yang tahu, kemudian saya dapat melihat diri saya melakukan pukulan yang baik di sini," kata McIlroy kepada wartawan.

"Sama ada saya menang atau tidak, itu sebahagian bergantung kepada saya, tetapi itu juga sebahagian daripada bagaimana 155 pemain lain beraksi di lapangan nanti.

"Saya akan berusaha bermain permainan saya, dan jika saya dapat menampilkan permainan terbaik, saya pasti saya mempunyai peluang yang baik."