Juara Kejohanan golf BMW, Jon Rahm, "masih tidak percaya apa yang baru saja terjadi" selepas membenam birdie sejauh 66 kaki untuk mengalahkan Dustin Johnson dalam aksi play-off yang mendebarkan.

Rahm muncul juara mengatasi pendahulu Piala FedEx itu dengan cara menakjubkan hasil pukulan putt yang luar biasa di lubang play-off pertama di Olympia Fields Country Club, sebentar tadi.

Turun dengan misi mengintai gelaran berturut-turut selain memburu trofi play-off Piala FedEx yang keenam, juara Northern Trust, Johnson, mengheret permainan ke pusingan play-off selepas melakukan birdie sejauh 43 kaki di lubang ke-18.

Selepas terikat dengan 4 di bawah par 72, pemain nombor satu dunia itu dan Rahm yang berada di kedudukan kedua melanjutkan aksi dalam babak play-off dan Rahm mengatasi tekanan tinggi untuk meraih kemenangan keduanya musim ini.



"Sudah banyak kali saya katakan, saya memproses sesuatu langkah itu jadi ia sukar untuk dijelaskan," kata atlet Sepanyol berkenaan setelah memenangi play-off kedua Piala FedEx menjelang Kejohanan Jelajah yang menawarkan ganjaran lumayan.

"Saya masih memikirkan bahawa saya sedang berada di lubang play-off.

"Saya masih tidak percaya apa yang baru berlaku, apa yang berlaku dalam jam terakhir permainan.

"Di lubang ke-15 khususnya, saya mencatat birdie di lubang itu dengan iron enam dalam pukulan ketiga, kemudian saya melakukan birdie dengan 3 di bawah par untuk menghidupkan peluang dalam dua lubang terakhir.

"Apabila kami memasuki play-off, saya berusaha untuk mengekalkan kekuatan mental dan sekiranya dia membuat putt terakhir, ia sangat mendebarkan tetapi seronok. Saya fikir cara terbaik untuk saya jelaskan kemenangan ini, saya berseronok di atas lapangan. Bukan kerana saya beraksi bagus tetapi itulah yang saya ingin lakukan. Ini adalah satu lapangan yang sukar. Kami harus bermain dengan baik.

"Pemain yang beraksi lebih awal mempamerkan prestasi baik, jadi saya tahu kami akan dapat melakukan birdie dan berseronok untuk melakukannya. Mungkin itulah sebabnya mengapa segalanya menjadi. Tetap agresif kerana saya berasa selesa pemukul saya dan ia berhasil."