Wakil tunggal Malaysia dalam Kejohanan Dunia M6, Selangor Red Giants (SRG), terus bernyawa apabila menepati ramalan menumbangkan RRQ Hoshi dari Indonesia 3-1 dalam suku akhir lower bracket malam tadi.

Apa yang lebih menarik, SRG kekal di landasan tepat untuk memburu musim sempurna apabila muncul juara berganda MPL MY Musim Ke-13 dan 14, di samping turut muncul juara Mid Season Cup.

Sepanjang sejarah Siri-M, belum ada pasukan yang mendominasi keempat-empat kejohanan dalam semusim.

Atas dasar itu, buruan kejuaraan dunia M6 di halaman sendiri bakal mengukir sejarah baru e-sukan negara.

Berbicara mengenai sejarah, pemain import SRG dari Filipina, Innocent, muncul pemain pertama dalam sejarah Siri-M untuk merekod jumlah 'kills" tertinggi iaitu 19 tanpa kematian dalam satu permainan, ketika menewaskan RRQ Hoshi.



Untuk merealisasikan impian juara M6, SRG bukan sekadar mempertaruh meta permainan terkini mahupun skill individu, malah kisah persabahatan yang terjalin menjadi nadi kekuatan Gergasi Merah itu.

"Kekalahan sebelum ini disebabkan kesilapan sendiri dan isu disiplin.

"Kami tidak menafikan kerap beroleh kemenangan tapi disiplin dan kesilapan yang menyebabkan kekalahan kami walaupun sempat mendahului dalam dua kekalahan terdahulu.

"Kami tidak terkejut kerana ini Kejohanan Dunia M6, apa jua boleh berlaku.

"Saya rasa teruja dan bangga dengan pencapaian sendiri kerana tidak pernah ke peringkat Axiata Arena.

"Jadi tempoh dua hari ini kami banyak memberi fokus kepada berlatih," kata kata mid laner SRG, Hazziq Danish Mohamad Rizwan, di Nadi Arena sebentar tadi.