Atlet seni bela diri campuran (MMA), Agilan Thani, mengharapkan bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha menjadikan sukan itu lebih dikenali di seluruh Malaysia.

Walaupun berusaha keras dalam mengibarkan cabaran negara ke peringkat lebih tinggi, nasib Agilan tampak sama seperti apa yang dilalui peninju profesional, Muhammad Farkhan Haron dan Mirage Khan.

MMA adalah sukan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, malah tidak mustahil akan dipertandingkan dalam Sukan SEA, Komanwel ataupun Olimpik suatu hari nanti.

"Kami mengharapkan bantuan kerana kadang-kala perkara kecil boleh memberi kesan kepada sesuatu yang besar.

"Sebagai contoh, saya memenangi perlawanan dan meraih RM1,000, kemudian kerajaan berikan hadiah RM1,000. Jadi, dengan RM2,000 yang saya miliki mungkin saya dapat menjalani latihan tambahan dan menjadi atlet yang lebih baik," ujar Agilan.

Dalam Kejohanan Welterweight Dunia di Singapura minggu lalu, Agilan tewas kepada peserta berusia 32 tahun, Ben Askren.

Kekalahan itu menyaksikan rekod bersih milik Agilan tercalar selepas mencatat tujuh kemenangan sebelum pertemuan itu.

"Saya mengharapkan pada masa depan, orang ramai akan lebih memahami sukan ini, mungkin untuk generasi akan datang supaya mereka dapat menjadi atlet MMA yang lebih bagus,” katanya.

Agilan akan berehat selama dua minggu sebelum kembali menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi pertarungan kesembilan dalam kariernya.