Ketua Pusat Psikologi Sukan, Institut Sukan Negara (ISN), Rohana Yusof, menjelaskan Persatuan Lawn Bowl Malaysia (PLBM) perlu mengemukakan surat kepada Institut Sukan Negara (ISN) susulan keadaan terkini jaguh boling padang negara, Nur Farah Ain Nabila.

Rohana turut menyatakan bahawa tahun ini sukan boling padang tidak termasuk dalam Program Podium sejak 2022, namun PLBM boleh memohon bantuan pakar psikologi untuk Farah Ain daripada ISN.

Sebelum ini, ketika ditemu bual oleh wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, Farah Ain mendedahkan bahawa dia menghidap serangan panik dan kemurungan dan terpaksa mengambil ubat bagi mengurangkan tekanan itu.






"Pihak persatuan boling padang perlu menghantar surat kepada ketua pengarah ISN untuk memaklumkan bahawa memerlukan bantuan psikologi buat Farah Ain.

"Jika pihak atasan bersetuju maka tiada masalah untuk kami memberikan perkhidmatan kepada dia.

"Cuma, jika tahun depan boling padang ada dalam Program Podiuam MSN, maka kita tiada halangan untuk memberikan perkhidmatan buat Farah Ain, dimana kami akan memberikan seorang pegawai psikologi untuk menjaga sukan boling padang." katanya kepada Nadi Weekend.