Jurulatih pecut negara, Poad Kassim, beranggapan kuartet pecut kebangsaan boleh melakukan kejutan Sukan Solidariti Islamik (ISG) yang akan berlangsung di Turkiye bermula Selasa depan.

Pasukan pecut negara yang diketuai bekas pemegang rekod 100 meter kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, yang akan berlepas ke Turkiye malam ini.

"Bagi saingan pecut, saya berasakan kami mampu memperoleh pingat. Berdasarkan catatan masa yang dilakukan sebelum ini, saya yakin mereka mampu mendapatkan pingat ," kata Poad.

Kata-kata jurulatih itu turut disokong Khairul Hafiz yang beranggapan dia dan rakan sepasukan mampu membawa pulang sesuatu daripada Konya, Turkiye.

"Harapan untuk mendapatkan kejayaan ada, dalam acara 4x100m, saya yakin kami mampu menghasilkan kejayaan di Turkiye nanti," ujar Khairul Hafiz.

Sementara itu, atlet heptathlon negara, Norliyana Kamaruddin, sudah bersedia untuk bersaing dalam dua acara individu iaitu lompat tinggi dan 100m lari berpagar di ISG.

Norliyana yang hanya mampu meraih gangsa Sukan SEA Hanoi dalam acara heptathlon meskipun memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri mengakui saingan yang bakal menunggu di Turkiye adalah sangat sukar.