Pelumba Formula 1 (F1), Alex Albon, dibenarkan untuk keluar hospital selepas mengalami kegagalan pernafasan susulan komplikasi pembedahan sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

Albon, 26, tidak dapat meneruskan perlumbaan Grand Prix Itali di Litar Monza hujung minggu lalu kerana masalah appendicitis sebelum dipindahkan ke Hospital San Gerardo bagi menjalani rawatan.

Pemandu Williams itu kemudian menjalani pembedahan tetapi dia mengalami komplikasi sehingga terpaksa diberikan rawatan rapi dan memerlukan bantuan ventilator.

Bagaimanapun, dia sudah boleh bernafas sendiri kelmarin dan diberikan kebenaran untuk keluar hospital dan kembali ke rumahnya di Monaco hari ini.

"Kami dengan sukacitanya mengesahkan bahawa Alex Albon kini telah pulang ke rumahnya," kata jurucakap pasukan Willams kepada media-media antarabangsa.