Erik ten Hag mengakui kehilangan mata Manchester United semakin 'lebih mahal' dan masa itu semakin suntuk untuk mendapatkan tempat Liga Juara-Juara.

United bolos dua kali pada masa kecederaan ketika Chelsea melakar kemenangan dramatik 4-3 di Stamford Bridge.

The Red Devils, yang menghuni tangga keenam dalam carta Liga Perdana Inggeris, turut melepaskan gol menyamakan kedudukan pada minit ke-99 di Brentford minggu lalu.

United kini ketinggalan sembilan mata di belakang Tottenham di tangga kelima dengan baki lapan perlawanan, manakala mereka ketinggalan 11 mata di belakang Aston Villa di tangga keempat, yang bermain lebih banyak perlawanan.

Dengan pendahulu liga, Liverpool jadi lawan seterusnya di Old Trafford esok, pengendali United, Ten Hag mengakui 'sukar' untuk merapatkan jurang kepada mereka yang berada di atas mereka.

"Minggu ini kami telah kehilangan mata pada masa kecederaan," kata Ten Hag.

“Kami telah kehilangan lima mata dan itu sangat mahal dan masa semakin suntuk. Kami mengetahuinya dan kami perlu mengejar saingan.

“Kami ketinggalan banyak mata, ia akan menjadi sukar tetapi kami akan terus berjuang dan pasukan kami mempunyai karakter.

“Kami telah melihat hari ini (menentang Chelsea) mereka berdaya tahan dan kami akan menentang Liverpool.”

Apabila ditanya sama ada United perlu menghasilkan penghujung musim yang sempurna untuk menduduki empat teratas, dia menambah, “Ya, tetapi itu juga yang saya katakan sebelum perlawanan (Chelsea). Saya rasa begitu.

“Saya perlu menguruskan pasukan. Kami mempunyai kualiti, beberapa pemain yang hebat, kami boleh bermain dengan standard yang sangat tinggi.”

Pengurus Belanda itu juga menyatakan kepentingan penyokong United mengelak laungan tragedi untuk pertemuan mereka dengan Liverpool hujung minggu ini.

“Amat penting untuk berada di belakang Manchester United dan menyokong kami dengan cara yang positif,” katanya.

“Terdapat ikatan yang hebat antara pasukan dan penyokong dan kami mahukan suasana yang positif di Old Trafford pada hari Ahad.”