Ketua jurulatih Manchester City, Pep Guardiola, tidak menolak kemungkinan bahawa pasukannya kini berada di ambang kejatuhan berikutan kekalahan 0-4 kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad, malam tadi.

Spurs memalukan juara EPL musim lalu itu di halaman sendiri dengan kemenangan besar menerusi kecemerlangan James Maddison, Pedro Porro dan Brenna Johnson, sekali gus menyukarkan Man City merapatkan jurang dengan pendahulu carta, Liverpool.

Begitupun, Pep Guardiola menegaskan bahawa dia tidak akan menekan butang panik, sebaliknya merancang strategi berbeza bagi menghadapi aksi seterusnya.

"Kami mengakui yang kami sangat rapuh ketika ini di mana kami tidak bertahan dengan baik termasuk bergelut untuk mencari jaringan yang menjadikan situasi lebih sukar sepanjang permainan.

"Tiada kisah dongeng yang berpanjangan. Semua perlu menjalani situasi ini dan harus menerimanya dengan hati terbuka selain tidak boleh menyalahkan antara satu sama lain.

"Saya sesekali tidak akan lari daripada masalah ini kerana apa yang menentukan kita ialah apabila gagal, kita harus cepat kembali bangkit," katanya kepada media antarabangsa selepas perlawanan dramatik itu.

Juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dua musim lalu itu sedang dalam fasa serba kekurangan ekoran isu kecederaan yang merencatkan persiapan pasukan.

"Tiada pasukan di dunia boleh mengekalkan kejayaan selama 10 tahun berturut-turut,

"Mereka banyak mencipta peluang, namun gagal diterjemahkan menerusi gol.

"Terdapat beberapa faktor menjadi penyebab utama kami tewas. Pemain pulang lewat daripada tugasan negara selain tonggak utama tidak boleh bermain sepenuhnya," katanya lagi.