Rekod tanpa kalah skuad negara dalam Kejohanan Bola Jaring Asia 2024 musnah apabila tewas kepada juara bertahan, Sri Lanka, di India malam tadi.

Malaysia sebelum ini tidak pernah tewas dalam empat perlawanan pertama Kumpulan A itu, di mana mereka mengalahkan Jepun (82-8), Maldives (64-28), Arab Saudi (87-3) dan India (81-23).

Bagaimanapun, pasukan yang diketuai Fariha Razak itu jelas berdepan kesukaran untuk mengekang asakan juara Asia enam kali, Sri Lanka, sebelum akur tewas 40-72.

Skuad negara seterusnya akan bertemu Filipina malam esok.

Sebagai rekod, Malaysia merupakan juara edisi pertama Kejohanan Asia pada 1985 dan mengulangi pencapaian sama pada 2016.

Dalam edisi terakhir pada 2022, Malaysia menamatkan kempen di tempat ketiga dengan menewaskan Hong Kong manakala Sri Lanka pula bergelar juara dengan mengatasi Singapura.