Pelumba TKKR Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman, mengakui terlebih menggunakan brek dan tayar depannya untuk mengejar Hafizh Syahrin Abdullah sebelum menamatkan perlumbaan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Zhuhai, China hari ini.

Azlan Shah menamatkan perlumbaan itu di tempat ketiga di belakang pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar (Honda Asia Dream Racing), dan juara dari JDT Racing Team, Hafizh Syahrin.

Dia pada satu ketika memberikan tekanan hebat buat Hafizh Syahrin tetapi menuju ke tiga pusingan terakhir, jenteranya kelihatan mula kehilangan cengkaman.

Dalam satu temu bual selepas perlumbaan itu, Azlan Shah berkata: "Perlumbaan kali ini amat mencabar dan sukar.

"Saya cuba mengikut rentak Hafizh Syahrin tetapi saya fikir saya terlebih 'masak' tayar depan saya kerana saya cuba melakukan brek ketika dekat dengannya.

"Pada akhirnya, cengkaman brek saya mula hilang dan tayar depan juga mula licin.

"Saya cuba mengekalkan rentak tetapi pada akhirnya, Andi memintas saya dan mula menjarakkan diri.

"Apapun, semua pelumba amat pantas hari ini dan saya harap dapat melakukan yang terbaik esok," katanya.