Di sebalik sulaman rasa bangga, kecewa dan sebagainya membabitkan kontinjen negara dalam temasya sukan terbesar dunia, iaitu sukan Olimpik Paris, yang baru sahaja melabuhkan tirainya, tentu ramai di antara kita yang mungkin bersetuju tentang satu kisah yang cukup viral sepanjang Paris 2024 berlangsung.

Dalam pada kita gagal mencapai sasaran dalam pemburuan pingat emas pertama negara, kisah hubungan istimewa yang menyentuh hati rakyat Malaysia adalah membabitkan wartawan Astro Arena, Ahmed Shahrazad Sani, dengan para atlet yang bertanding, terutama dari acara badminton, adalah satu kisah kejayaan yang cukup menjadi inspirasi buat kita semua.

Bahkan, ada yang menitiskan air mata apabila melihat betapa akrabnya hubungan mereka sehinggakan setiap patah perkataan perbualan mereka yang terakam mampu menjentik sanubari kita semua.

Setiap ulasan yang dibuat oleh wartawan berusia 35 tahun itu juga turut dikaitkan sebagai satu tonik penyuntik semangat yang baharu kepada atlet yang sedang berjuang sehingga membuahkan hasil kemenangan.

Tidak hairanlah Bangmed diangkat sebegitu tinggi bak 'hero' di sebalik tabir sesebuah kejayaan atlet.

Sebenarnya apa yang berlaku itu barangkali Bangmed sendiri tidak menjangkakan akan berlangsung sedemikian rupa sepanjang kariernya selaku wartawan.

Namun, itulah buah hasilnya seandainya setiap niat pekerjaan itu dilakukan dengan benar-benar ikhlas dan jujur untuk melihat atlet negara yang beraksi mampu menempa kejayaan baik dalam jangka masa pendek ataupun panjang.



Menurut Bangmed, hubungan rapat dengan atlet yang terjalin itu sebenarnya bukanlah berlangsung dalam tempoh yang singkat, bahkan ia telah sekian lama hingga mewujudkan situasi yang adakalanya dia menjadi tempat luahan dan curahan rasa kalangan atlet yang bersahabat dengannya.

Malah, bukanlah menjadi satu perkara yang asing andai Bangmed sering kali menjadi tempat rujukan dalam hal-hal tertentu atlet selain untuk mendapatkan nasihat darinya.

"Biasa sebenarnya kalau nak dikatakan ada atlet yang hadir dan menghubungi saya untuk bertanya dan mendapatkan nasihat tertentu pada saya. Bukanlah mereka itu pilih kasih berbanding orang lain tetapi ada juga di kalangan mereka yang mungkin rasa selesa.

"Bukan dengan saya saja diaorang (atlet) memiliki hubungan sedemikian tetapi juga ada dengan wartawan atau pengamal media lain juga, namun mungkin ia tidak kelihatan. Biasalah, kita semua ada individu tertentu yang mungkin kita rasa selesa untuk berbual dan berkongsi sesuatu perkara." Jelasnya selepas hari pertama memasuki pejabat Astro Arena pada Rabu selepas pulang dari Paris, Perancis.

Dalam masa sama, dia turut berterima kasih kepada semua pihak, terutama peminat sukan tanah air yang setia memberikan sokongan dan dukungan tidak berbelah bahagi kepada atlet Malaysia dan dirinya sepanjang Sukan Olimpik Paris berlangsung.

Dia mengakui sokongan yang diterima oleh semua pihak cukup-cukup luar biasa dan menyentuh sanubari hatinya secara peribadi.

Begitu juga dengan rakan-rakan sekerja Astro Arena dan media lain yang juga sentiasa membantu sepanjang keberadaanya di sana.



Bagaimanapun, tambahnya, ketika ini dia juga mempunyai cita-cita untuk melebarkan lagi bakat yang ada dalam dunia penyiaran, yang tidak hanya terhad dalam bidang sukan tetapi juga meliputi segala bidang termasuk meja am dan sebagainya.

"Benar, saya memang mempunyai hasrat itu ketika ini dan sedang memikirkanya. Agak teringin sebenarnya untuk saya melebarkan lagi ilmu pengetahuan dalam konteks kewartawanan penyiaran yang ada ketika ini untuk menggali sebanyak mungkin bakat yang ada." Jelasnya lagi.

Ahmed Shahrazad telah bertugas sebagai wartawan dan pengulas sukan di Astro Arena selama 14 tahun, iaitu sejak menyertai Astro pada 2010.

Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan tugasan Olimpik yang ketiga buatnya selepas Rio 2016 dan Tokyo 2020.