Penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson da Silva mengakui 'berebut' dengan Arif Aiman Hanapi untuk mengambil sepakan penalti kedua pada penghujung perlawanan dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Menurut Bergson, beliau risau sekiranya Arif Aiman gagal menyempurnakan sepakan dalam perlawanan penting tersebut dan menyebabkan pemain muda sensasi JDT itu akan dikecam.

"Perlawanan ini sangat penting dan sukar.

"Saya sayangkan Arif tetapi dia masih muda.

"Jika dia tidak berjaya jaringkan penalti, pasukan lawan akan lakukan serangan balas dan menjaringkan gol, sudah tentu Arif akan dikecam.

"Saya cuba ambil penalti itu kerana saya berlatih untuk itu (penalti) dan saya berumur 32 tahun dan ia satu perbezaan dengan dia.

"Tetapi, Alhamdullilah dia berjaya jaringkan penalti itu," katanya.

Dalam perlawanan itu, JDT tampil dengan aksi dominan untuk menewaskan Terengganu FC 3-1 sekali gus merangkul Piala Malaysia buat kali keempat.



Kemenangan itu menyaksikan JDT meletakkan penanda aras baharu apabila menjadi pasukan pertama memenangi empat piala iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia dalam satu musim buat kali kedua berturut-turut.

Malah, Harimau Selatan juga menyamai rekod Kedah yang memenangi 'double treble' pada 2007 dan 2008.-Sinar Harian