Pemerhati bola sepak tempatan, S. Subramaniam, berasakan Selangor perlu fokus sepenuhnya dalam kempen Liga Super 2024/25 dengan menamatkan cabaran di kelompok dua terbaik jika ingin terus beraksi di pentas Asia.

Ini susulan cabaran mereka dalam saingan Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) sudah berakhir musim ini dengan satu-satunya peluang untuk mara ke saingan peringkat Asia adalah menerusi cabaran di peringkat liga.

Perlawanan menentang Cebu menjadi aksi terakhir mereka di pentas ACL2 walaupun berakhir dengan kemenangan 4-0 di Stadium Memorial Rizal apabila sekadar menamatkan saingan peringkat Kumpulan H di kedudukan ketiga.





"Selangor kalah di Piala FA, tersingkir dalam kempen Piala Malaysia dan kini peluang mereka hanya di saingan liga dengan kini berada di kedudukan ketiga.

"Mereka perlu menamatkan liga di tempat kedua untuk melayakkan mereka ke ACLE mahupun ACL2. Tahun ini fokus perlu pada liga untuk berada di kedudukan kedua.

"Difahamkan kemungkinan Malaysia akan mendapat dua slot ke saingan pentas Asia mengikut ranking MA Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia." katanya malam tadi.