Meskipun menerima rehat hampir tiga minggu sejak perlawanan suku akhir Unifi Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) tempoh hari, Kuala Lumpur City masih dihantui beberapa siri kecederaan pemain menjelang kempen Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee, Khamis depan.

Begitupun, skuad kendalian Miroslav Kuljanac kembali diperkuat ketua pasukan, Paulo Josue, serta Haqimi Azim Rosli, Declan Lambert dan Patrick Reichelt selepas selesai tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan dalam Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024.

"Kami mempunyai masalah jadi tidak tahu siapakah yang akan membarisi kesebelasan utama. Kami masih menunggu status Kenny Palraj tetapi keputusan agak sukar kerana dia sudah lama tidak berlatih.

"Brendan Gan cedera, manakala Jovan Motika terpaksa pulang ke kampung halaman atas isu keluarga.





"J. Partiban juga tiada.

"Kami akan mencuba sehabis baik. Saya mahu membawa beberapa pemain daripada skuad bawah 23 tahun (B-23) tetapi mereka tidak didaftarkan.

"Saya harap seseorang akan kembali daripada kecederaan," katanya.

Pertemuan menentang wakil Singapura itu cukup penting buat skuad Warga Kota mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Kaya-Iloilo dan Borneo FC Samarinda.

The City Boys memburu kemenangan ketiga bagi mencerahkan peluang mereka untuk mara ke separuh akhir walaupun akan menghadapi kelab kedua terbaik dari Singapura itu.

"Sesiapa yang bermain, mereka akan memberikan 100 peratus," tambahnya.