Tonggak pertahanan PDRM FC, Aliff Najmi Shaaini, mengakui terkilan selepas terpaksa lupakan baki saingan Liga Malaysia musim 2024-25 berikutan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang dialaminya pada Oktober lalu.

Jelas pemain yang mesra disapa Panjang itu, ia merupakan kecederaan paling teruk pernah dialaminya sepanjang bergelar pemain profesional.

Panjang, bagaimanapun, gembira apabila proses pemulihannya berjalan lancar seperti yang diharapkan meskipun baru sahaja selesai menjalani pembedahan pada penghujung November lalu.

Tonggak berusia 24 tahun itu turut berharap agar The Cops mampu mempertahankan gelaran kejuaraan Piala Cabaran meskipun tanpa kelibatnya.

"Selepas minggu kelapan (pemulihan), saya rasa diri saya berada di tahap yang baik," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Ia satu perkembangan yang cepat berbanding sepatutnya -- saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini tetapi setakat ini, ia agak baik.

"Kalau saya kuat, dua perlawanan terakhir musim ini, Inysa-Allah saya dapat bermain. Itulah sasaran saya," katanya.