Jaguh Denmark, Anders Antonsen, berasakan adalah tidak adil untuk membandingkan perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, dengan pemain legenda, Datuk Lee Chong Wei.

Ini kerana untuk berada di tahap seperti Chong Wei, anda memerlukan usaha yang luar biasa berbanding apa yang biasa anda lakukan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Fatin Ruzaiman, dia berkata: "Untuk menyamai Lee Chong Wei daripada segi keputusan dan pencapaiannya, itu amat-amat sukar.

"Saya rasa tiada siapa perlu mencuba untuk menjadi Lee Chong Wei kerana mereka sepatutnya hanya fokus kepada diri mereka dan perjalanan individu mereka.

"Bercakap mengenai Lee Zii Jia, saya fikir dia sedang melakukan perkara itu, jadi itulah perkara paling tepat untuk dilakukan.

"Anda perlu keluar daripada tekanan untuk menjadi seperti Lee Chong Wei.

"Agak berbahaya untuk anda membandingkan diri anda dengan Lee Chong Wei setiap masa," katanya.