Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, ternyata meluahkan keterujaannya bersama pasukan baru, JDT Racing Team.

Peralihan pelumba negara, Hafizh, ke Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team menandakan babak baharu yang penting dalam kariernya, mengharungi kuasa Ducati Panigale V4R.

Persediaannya untuk Kejohanan Asian Road Racing Championship (ARRC) 2024 mencerminkan gabungan semangat dan penyesuaian strategik kepada mekanik unik motosikalnya.

Sebelum ini bertanding dalam saingan MotoGP, Hafizh kembali ke kancah ARRC dengan sokongan JDT Racing bagi meletakkan semula pelumba negara itu kembali ke tahap tertinggi serta usaha mengejar kejuaraan.

"Yang pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tunku Ismail kerana membantu saya membawa saya menyertai pasukan ini. Persiapan yang singkat dalam tempoh beberapa bulan untuk mempersiapkan jentera dan kru pasukan bagi musim 2024," kata Hafizh menerusi sidang media sebentar tadi.

"Kami telah menjalani sesi latihan bersama jentera baru ini, saya percaya dengan lebih banyak masa di litar, kami akan terus menyesuaikan diri sekali gus menghasilkan keputusan dalam perlumbaan yang bakal bermula tidak lama lagi.

"Sasaran kami adalah berada dalam kedudukan podium dalam setiap perlumbaan, dan jika kami memiliki peluang untuk merebut kejuaraan, kami akan cuba melakukan yang terbaik.

"Terdapat beberapa pelumba yang bakal menjadi saingan utama kali ini, saya percaya kehadiran mereka akan memberikan tentangan yang hebat buat kami."