Ketua Unit Komersial Johor Darul Ta'zim (JDT), Kevin Ramalingam, mendedahkan perwatakan yang dimiliki pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah, merupakan sesuatu yang menarik perhatian untuk mendapatkan khidmatnya sebagai penunggang jentera JDT Racing Team.

Peralihan pelumba negara, Hafizh, ke Johor Darul Ta'zim (JDT) Racing Team menandakan babak baharu yang penting dalam kariernya, mengharungi kuasa Ducati Panigale V4R.

Persediaannya untuk Kejohanan Asian Road Racing Championship (ARRC) 2024 mencerminkan gabungan semangat dan penyesuaian strategik kepada mekanik unik motosikalnya.

Bercakap menerusi sidang media, Kevin, menyatakan semangat yang dimiliki Hafizh adalah sesuatu yang sangat berkualiti dan mampu membawa pasukan mencapai kejayaan.

"Kami memiliki seorang pelumba yang cukup komited dan menakjubkan," katanya.

"Seorang yang sedia kembali beraksi di ARRC dan percayai apa yang mampu dicapai pada masa akan datang.

"Ketika kami menjalani fasa perbincangan, dia tidak sabar untuk kembali ke litar, kembali berlumba. Perwatakan yang dimiliki Hafizh cukup untuk menarik tumpuan kami dan memberikan sokongan penuh buat Hafizh.

"Kami akan mengambil selangkah demi selangkah, kami mahu mengucapkan terima kasih atas pujian, terima kasih juga buat kritikan yang telah diberikan kepada kami, ia hanya akan membuat kami lebih kuat."