Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, tersungkur awal dalam Terbuka Indonesia selepas tidak mampu mengekang kebangitan Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati, hari ini.

Mereka menepati ramalan untuk memenangi set pertama 21-13 sebelum skrip kemenangan di Istora Senayan itu bertukar tangan.

Pilihan ketujuh kejohanan itu perlu menghambat kedudukan lawan untuk menyamakan kedudukan 16-16 sebelum mendahului 19-17, namun drama semakin hangat apabila taruhan tuan rumah tersebut enggan mengalah dan dius demi dius disajikan dalam set kedua sebelum keputusan 24-26 mengheret pertarungan ke set penentuan.

Situasi terus tegang dengan adegan kejar mengejar mata di sebalik terjejas seketika akibat masalah pencahayaan di gelanggang tetapi akhirnya, beregu profesional Malaysia itu tersingkir 17-21.

Dalam satu lagi aksi membabitkan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak cukup tenang di penghujung pertarungan untuk mematikan langkah lawan dari Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito, untuk disingkirkan 17-21, 21-15 dan 17-21.