Beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, mengetepikan cabaran Kim Astrup-Anders Rasmussen dengan kebangkitan sempurna untuk mengikat Denmark 1-1 dalam Piala Thomas, sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik pada awalnya mencetuskan resah buat kem negara apabila bermula sumbang 17-21 dalam set pertama di Chengdu, China.

Begitupun, mereka berjaya menongkah arus dalam dua set seterusnya yang penuh bergelora.

Mereka terikat 16-16 dalam set kedua sebelum mencipta kemenangan 21-17.




Dan Astrup-Rasmussen memberi cabaran yang lebih berliku apabila sentiasa menerajui set penentuan sebelum mata terikat di kedudukan 15-15 berikutan enam mata berturut-turut yang diperoleh Aaron-Wooi Yik.

Namun, gandingan nombor satu itu sempat bertelagah dengan pengadil selepas servisnya dibatalkan dan memberi mata ke-16 buat lawan.

Beregu lelaki negara tersebut yang geram dengan situasi berkenaan kemudian memuktamadkan tiga mata terakhir untuk mengesahkan kemenangan 21-16.