Exco Belia, Sukan dan Keusahawan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi, percaya penganjuaran Sukan Selangor (SUKSES) dilihat sebagai medan terbaik untuk melahirkan atlet yang mampu mewakili Malaysia pada masa akan datang.

"SUKSES merupakan kejohanan sebagai medan menggalakkan serta platfom mencungkil bakat di peringkat daerah di Selangor," katanya menerusi Nadi Weekend.

"Kami mengucapkan tahniah buat Majlis Sukan Negeri Selangor atas penganjuran kali ini, ia merupakan pentas persiapan bagi atlet-atlet untuk beraksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tahun hadapan.

Bercakap mengenai usaha dalam melahirkan atlet ke peringkat antarbangsa, Najwan berkata, "Sukses ini adalah langkah pertama, sebelum mereka beraksi di peringkat Sukma sebelum ke peringkat antarabangsa.

"Sebagai contoh, atlet boling tenpin yang baru dinobat sebagai juara dunia, Natasha Roslan merupakan atlet yang pernah beraksi di peringkat ini. Atlet yang pernah beraksi di peringkat Sukan Olimpik, gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi."

Sukan Selangor atau ringkasnya SUKSES adalah satu acara sukan peringkat negeri yang diadakan secara dwi-tahunan di bawah anjuran Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Sukan Negeri Selangor. Temasya ini telah diadakan sebanyak 14 kali sejak tahun 1995.

Penganjuran temasya tersebut bertujuan bagi memilih atlet dalam persiapan kontinjen negeri Selangor ke temasya Sukan Malaysia.

Ia dianjurkan sebagai usaha untuk membangunkan pembangunan dan pengembangan bakat sukan secara bersama antara Majlis, Majlis sukan daerah-daerah dan Persatuan Sukan Negeri secara berterusan.