Lagi 114 hari lagi menjelang acara SUKMA Sarawak dan kawasan tumpuan kali ini terarah kepada Miri di mana ia akan menjadi gelanggang buat enam jenis sukan.

Ia adalah lawan pedang, pelayaran, ragbi, sofbol, karate dan juga pencak silat.

Mungkin ramai tidak tahu bahawa Miri merupakan sebuah penempatan bagi nelayan pada zaman dahulu oleh kerana kawasannya berada di tepi laut.



Namun semuanya berubah selepas terdapat penemuan galian di daerah itu yang kaya dengan minyak mentah berkualiti.

Perkara itu sekaligus menukar lanskap Miri sebagai penempatan nelayan hingga menjadi pentas tumpuan buat industri petroleum di Malaysia hingga kini.

Ini boleh dikaitkan dengan mercu tanda tersohor di Miri iaitu 'Grand Old Lady' di Bukit Kanada di mana ia merupakan tempat pertama minyak dijumpai di kawasan itu pada 1910.



Namun bukan itu sahaja yang membuatkan Miri istimewa, mereka juga popular dengan produk makanan unik mereka yang tidak sama seperti di tempat lain.

Antaranya adalah Belacan Miri yang dikatakan mempunyai aromanya yang tersendiri dan tidak lupa juga dengan lagi satu produk yang melibatkan udang iaitu Bubuk Kering yang juga menjadi pilihan pelancong luar untuk dibawa balik.

Masih lagi dengan makanan, Miri juga adalah antara pengeluar jenis beras tersohor di negara ini iaitu Beras Bario yang mempunyai tanda harga premium namun kualitinya lebih dari setimpal dengan harganya.



Mungkin kepada semua yang ingin turun ke Miri untuk menyaksikan aksi sukan terbaik pada ogos nanti, pastikan anda jangan lupa nikmati kualiti lain yang boleh ditawarkan dari bandar itu.