Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memutuskan membenarkan atlet Russia dan Belarus bertanding pada Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai neutral, tanpa bendera, lambang atau lagu kebangsaan.

“Lembaga Eksekutif IOC memutuskan atlet neutral individu yang telah layak melalui sistem kelayakan sedia ada Persekutuan Antarabangsa akan diisytiharkan layak untuk bersaing pada Sukan Olimpik Paris 2024 mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

“Atlet neutral ialah atlet dengan pasport Russia atau Belarus.

“Tiada bendera, lagu kebangsaan, warna atau sebarang pengenalan lain Russia dan Belarus akan dipaparkan sepanjang Sukan Olimpik Paris 2024 sama ada di tempat rasmi atau sebarang majlis rasmi,” menurut IOC
dalam satu kenyataan.




IOC berkata, atlet yang aktif menyokong perang di Ukraine tidak layak manakala mana-mana kakitangan sokongan yang berbuat demikian juga tidak dibenarkan masuk.

Menurut IOC tiada pegawai kerajaan atau negeri Russia dan Belarus akan dijemput atau ditauliahkan untuk Sukan Olimpik Paris.

Sejak bermulanya perang, atlet Russia dan Belarus telah disekat daripada pelbagai pertandingan di seluruh dunia.

Malah, badan Olahraga Dunia masih enggan berganjak dengan penggantungan penyertaan kedua-dua negara tersebut sejak pencerobohan Ukraine pada 2022.






Kredit: Sinar Harian