Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) memberikan kelonggaran sementara untuk pemain dan jurulatih meninggalkan kelab Ukraine dan Russia.

Badan induk bola sepak dunia itu telah menggantung kelab-kelab Russia dan seluruh pasukan daripada kejohanan di negara itu berikutan tindakan negara berkenaan menyerang Ukraine, walaupun Russia telah memberikan gambaran jelas bahawa mereka akan mencabar keputusan itu.

FIFA kini mengesahkan beberapa perubahan dalam undang-undang pendaftaran dan kontrak bagi memudahkan pemain dan pegawai yang menerima kesan langsung daripada konflik itu.

FIFA mengumumkan bahawa kesemua kontrak pemain dan jurulatih yang berkhidmat di Ukraine akan digantung secara automatik sehingga 30 Jun 2022 bertujuan untuk menyediakan pemain dan jurulatih berkenaan satu peluang untuk bekerja dan meraih pendapatan di luar negara dan melindungi kelab-kelab di Ukraine.

Dalam pada itu, FIFA juga memudahkan perpindahan jurulatih dan pemain import di Russia untuk meninggalkan negara itu jika mereka mahu melakukannya.

Pemain dan jurulatih import kini dibenarkan untuk menggantung kontrak mereka bersama kelab-kelab Russia sehingga penghujung Jun 2022.

Ketua jurulatih Shakhtar Donetsk, Roberto De Zerbi dan beberapa pemain Brazil di kelab itu antara individu yang berpotensi untuk meninggalkan Ukraine bagi menyertai pasukan lain sepanjang baki musim ini.