SELANGOR 4 DPMM 0

Selangor diambang juara kejohanan empat penjuru, Selangor Kusel Asia Challenge (SAC) 2024, apabila meraih tujuh mata dengan membelasah kelab Brunei, DPMM FC, di Stadium Petaling Jaya sebentar tadi.

Berdasarkan format SAC 2024, Selangor meraih tiga mata daripada kemenangan itu dan tambahan empat mata daripada empat jaringan yang dihasilkan.

Gergasi merah jelas pasukan yang lebih baik sejak dari awal permainan dan mereka menjaringkan dua gol dalam separuh masa pertama hasil jaringan Noor Al-Rawabdeh dan pemain sayap baru, Alvin Fortes, masing-masing pada minit ke 15 dan 30.

Al-Rawabdeh kemudian menggandakan jaringan peribadinya pada minit ke-56 dengan rembatan jarak jauh dari luar kawasan penalti selepas menerima hantaran bijak Faisal Halim.

Fortes turut mengikut langkah sama menggandakan jaringannya pada minit ke-67, kali ini dengan gerakan solo menarik menewaskan tiga pertahanan DPMM.

Selangor seterusnya akan bertemu kelab Laos, Young Elephants, manakala DPMM pula akan menghadapi wakil Singapura, Balistier Khalsa, hujung minggu ini.