Pemain penyerang negara, Faisal Halim, difahamkan berada dalam keadaan yang serius tetapi masih stabil di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) hari ini.

Berdasarkan keadaan semasa prosedur pembedahan pertama selama empat jam semalam, pemain itu mengalami lecuran di keseluruhan bahagian kiri muka sehingga menjejaskan bahagian hidung pemain berusia 26 tahun itu, demikian dimaklumkan sumber dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Malah, keseluruhan aspek posterolateral lengan kiri dan bawah dan bahagian kiri dadanya juga mengalami kecederaan teruk serta terjejas akibat kesan daripada simbahan asid.

Berkenaan lukanya pula, dia mengalami kesan terbakar di bahagian luar dan dalam dan walaupun sudah melalui proses pembedahan pertama, sejumlah tisu badannya tidak bertindak balas dengan positif.