Persoalan mengenai pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong, akhirnya terjawab apabila Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, mengesahkan bahawa dia telah digugurkan akibat kecederaan yang sedang membelenggu dirinya ketika ini.

Pemain berusia 23 tahun itu akan terus menjalani rawatan daripada pegawai kesihatan untuk memulihkan tahap kecergasannya sejak dilanda kecederaan belakang badan dalam Terbuka Malaysia, Januari lalu, yang memaksanya menjalani pembedahan dua bulan kemudian.

Sehubungan itu, kekosongan itu bakal diisi oleh pemain beregu lelaki, Choong Hon Jian, sekali gus melengkapkan senarai pasukan lelaki yang akan bertanding di Piala Thomas di Chengdu, China, bermula Sabtu depan.