Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PDRM, ASP Hafiz Zainal Abidin, mengakui laluan berliku menanti pasukannya dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala Cabaran 2024/25.

Selain bakal menghadapi cabaran Kedah Darul Aman (KDA) di pentas separuh akhir, The Cops juga bakal berdepan isu kecederaan pemain terutamanya di bahagian pertahanan.

Dua tonggak utama PDRM di bahagian pertahanan yang masih dalam senarai kecederaan adalah Badrul Affendy Mohd Fadzli serta Aliff Najmi Shaaini di mana kedua-duanya mengalami kecederaan lutut.

Hafiz bagaimanapun percaya, barisan kejurulatihan Sang Saka Biru yang diketuai P. Maniam sudah menyediakan perancangan rapi bukan sahaja bagi menghadapi Piala Cabaran 2024/25 sahaja, malah juga mengharungi baki saingan Liga Super 2024/25 musim ini.






Dia turut meneegaskan, pasukannya akan berjuang habis-habisan bagi merealisasikan hasrat untuk muncul pasukan pertama yang merangkul kejuaraan itu buat tahun kedua berturut-turut.

"Semestinya semua menanti pertemuan berdepan KDA, dan aksi dianggap sukar. Saya rasa penyokong boleh melihat prestasi tidak menentu PDRM.

"Saya rasa semua orang akui dengan prestasi pasukan yang sukar ketika ini tetapi kami berjaya melakar ke separuh akhir. Kami akan mempertahankan kejuaraan untuk musim ini." katanya.