Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Shahril Mokhtar, tanpa berselindung mengakui Harimau Muda kini sedang dalam keadaan tertekan menjelang aksi kedua Kumpulan D, Piala Asia B-23 menentang Vietnam di Doha, Qatar malam esok.

Katanya, mahu tidak mahu, Malaysia perlu turun ke dalam perlawanan itu dengan misi wajib menang bagi menghidupkan peluang ke suku akhir.

Ini selepas Harimau Muda tewas 0-2 kepada Uzbekistan dalam aksi pertama pada Rabu lalu.

Shahril turut memaklumkan bahawa motivasi pemain negara kini sudah kembali pulih dan fokus sepenuhnya untuk menebus kesilapan lalu agar tidak berulang.

"Terus-terang saya katakan, selepas ditundukkan oleh Uzbekistan tempoh hari, suasana dalam bilik persalinan agak sugul," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Tetapi Alhamdulillah, satu, dua jam selepas itu, selepas makan malam dan duduk berbincang bersama pemain, semangat mereka sudah kembali.

"Suasana dalam latihan malam tadi juga sudah berubah dan kini, kita kena pandang ke hadapan kepada dua perlawanan yang penting menentang Vietnam dan Kuwait.

"Saya tidak boleh menafikannya, sudah tentu tekanannya besar, hidup dan mati, kita tidak boleh terlepas satu mata pun.

"Dengan Vietnam misi harus menang dan dengan Kuwait pula misi perlawanan akhir untuk kita ke suku akhir.

"Tiada kata lain, termasuk saya sendiri sebagai pengurus pasukan, selain kemenangan," katanya.