Legenda bola sepak negara, Hanafiah Ali, meluahkan kekecewaannya mengenai kegagalan skuad Malaysia B-23 tahun di pentas Piala Asia Qatar, baru-baru ini.

Hanafiah merasakan, sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), belajar daripada perancangan teliti Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), khususnya melibatkan pembangunan akar umbi.

Skuad muda Indonesia kini selangkah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris -- satu pencapaian luar biasa buat negara Asia Tenggara.

"Jika dibandingkan dari masa lalu, skuad B-23 kali ini kurang persiapan daripada semua aspek. Perkara ini jelas kerana skuad negara sering kali mengalami masalah ketika memasuki sesebuah kejohanan.

"Buat masa sekarang, kita perlu mengakui bahawa Indonesia adalah pasukan yang lebih baik berbanding negara kita," katanya.