Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Halim, mengakui pencapaian Harimau Malaya di pentas Piala Asia merupakan suatu yang agak luar biasa kerana penantian sejak 40 tahun untuk layak secara merit akhirnya terlerai.

Tambah beliau, biarpun aksi Harimau Malaya bakal dijadualkan pada awal pagi waktu Malaysia, namun itu adalah perkara biasa bagi seseorang penyokong sejati skuad kebangsaan.

Justeru, Adam Adli turut menyeru semua rakyat Malaysia menggegar skrin-skrin besar di Malaysia bagi menyaksikan siaran secara langsung membabitkan skuad kebangsaan berdepan Jordan.

“Kita kena sedar pencapaian Harimau Malaya ini adalah pencapaian tertinggi yang pernah dilihat sejak 40 tahun lepas dan ini peluang terbaik rakyat Malaysia menyatakan sokongan. Menang atau kalah semangat Bersama Harimau Malaya itu harus kita tampilkan.




“Walaupun pagi ini, jam 1.30 pagi tetapi pastinya ramai ternanti-nanti. Kalau Piala Dunia kita sanggup tunggu, apatah lagi apabila menyaksikan pasukan kita sendiri beraksi di Qatar,” jelasnya sebagai tetamu di Nadi Arena sebentar tadi.