Juara bertahan, Anders Antonsen, berasa terkilan dengan keputusan pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia, yang terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Axiata Arena, Selasa ini.

Pemain berusia 27 tahun itu semestinya kembali ke gelanggang tersebut sebagai misi mempertahankan kejuaraannya, namun bersimpati dengan Zii Jia yang tidak akan membuat penampulan dalam aksi pembukaan Jelajah Dunia BWF 2025 ekoran kecederaan.

"Saya kesian dengannya. Saya sangat pasti dia mahu bermain di tempat sendiri. Saya bersimpati dengan dirinya.

"Saya tidak pasti apa yang dia lakukan tetapi dia mendapat kecederaan ketika Final Jelajah Dunia BWF, tahun lalu.



"Dia bermain dengan sangat baik dan mempunyai peluang ke separuh akhir. Jadi, ia sangat memalukan.

"Saya doakan supaya cepat sembuh dan berharap dapat bersemuka dengannya di lain masa," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.

Atlet kebangsaan Denmark tersebut mahu mempamerkan persembahan terbaik tatkala mahu mengulangi pencapaian tersebut musim ini.

"Perasaan berbeza apabila bergelar juara bertahan kejohanan ini dan semestinya sangat teruja bermain di Axiata Arena sekali lagi.

"Stadium yang saya sangat hargai selama ini selain memiliki pengalaman yang baik," tambahnya.