Perlawanan pertama Leong Jun Hao di bawah kendalian jurulatih baru, Kenneth Jonassen, berakhir dengan kekalahan kepada Lu Guang Zu di pusingan 32 Petronas Terbuka Malaysia di Axiata Arena, sebentar tadi.

Lu Guang Zu menonjolkan permainan bertenaga, namun diekori rapat sehingga menyamakan kedudukan 16-16 oleh Jun Hao tetapi keampuhan yang dimiliki pemain lawan sukar dirobek apabila mengungguli set pertama 21-17.

Pembuka aksi Jelajah Dunia BWF 2025 itu menyaksikan Jun Hao tidak mahu menghampakan sorakan peminat meskipun memikul beban selaku wakil tunggal perseorangan negara.



Dan itu yang dilakukan pemain kebangsaan yang berada di ranking ke-29 dunia tersebut selepas mempamerkan kebangkitan memukau 21-16 untuk mengheret permainan perlawanan ke set penentuan.

Aksi yang berlarutan melebihi 60 minit itu sudah semestinya menghadirkan kepenatan buat kedua-dua pemain, namun wakil dari China itu tidak menghiraukan perkara tersebut sebaliknya terus berada di depan dengan mata 13-6.

Guang Zu yang berada di kedudukan ke-16 dunia itu memanfaatkan kelebihan jurang mata, sekali gus mengakhiri perjalanan Leong Jun Hao dalam aksi tersebut 21-13.

Selepas ini, Lu Guang Zu akan bertemu pilihan pertama kejohanan, Shi Yu Qi, di pusingan 16 yang akan berlangsung esok.