Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, muncul juara Kumpulan D selepas menewaskan gandingan pilihan kedua dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, di Porte De La Chapelle Arena.

Kemenangan 17-21, 21-15, 21-16 itu menyaksikan pasangan negara berkenaan dapat mengelak daripada bertemu pilihan utama dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, di peringkat suku akhir, sekali gus mencerahkan peluang untuk menyumbangkan pingat buat negara dalam penampilan pertama mereka.

Bagaimanapun, Tang Jie dan Ee Wei enggan terbawa-bawa dengan kejayaan itu, sebaliknya mahu menjadikan kejutan yang dilakukan mereka itu sebagai pemangkin motivasi dan semangat untuk perlawanan seterusnya.

Ditemui selepas perlawanan itu, Ee Wei berkata kepada wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani: "Dalam Sukan Olimpik, apa sahaja boleh berlaku.

"Mereka amat kuat, jadi kami gembira dapat memberikan tentangan kepada mereka.

"Kami tidak mahu memikirkan perkara lain, hanya mahu fokus di dalam gelanggang."

Mengulas lanjut, dia menambah: Saya dan Tang Jie tidak mahu fikir terlalu jauh, kami hanya mahu fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Kami hanya perlu terus berjuang dalam gelanggang, itu sahaja," katanya.

Tang Jie kemudian berkata: "Mungkin anda melihat saya terlalu beremosi di atas gelanggang tetapi saya seorang yang senyap, bekerja keras, bermotivasi dan bersemangat. Gandingan saya amat menyedari perkara itu.

"Saya tidak banyak berfikir mengenai kami sudah menjadi juara kumpulan, saya hanya memikirkan apa yang boleh diperbaiki dalam permainan saya. Hanya itu dalam fikiran saya ketika ini."