Menggunakan petikan kata wartawan bola sepak terkemuka, Fabrizio Romano, bintang badminton India, P. V. Sindhu, mengumumkan ketibaan Hafiz Gashim selaku ketua jurulatih barunya dalam usaha memenangi pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.

"HERE WE GO!, dengan gaya tipikal Fabrizio, saya teruja untuk mengumumkan Hafiz Hashim sebagai jurulatih baru saya.

"Hafiz memiliki segala keperluan yang saya cari sebagai jurulatih, termasuk ketinggian, kepantasan dan naluri menyerang.

"Sebagai bekas juara All England, dia juga mempunyai sejarah tersendiri," tulis Sindhu dalam laman sosialnya.

Sebelum ini, Hafiz juga pernah melatih pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016 itu secara sambilan.

Bagaimanapun, sejak bermulanya pungutan mata kelayakan ke Paris 2024, Sindhu memilih untuk berlatih di bawah bimbingan bekas pemain kebangsaan itu secara tetap.

Untuk merealisasikan hasrat itu, pemain berusia 28 tahun berkenaan telah membuat permohonan kepada Pihak Berkuasa Sukan India untuk mendapatkan khidmat Hafiz secara sah.

Pemain nombor 17 dunia itu kini sedang bergelut dengan kemerosotan prestasi selepas kembali daripada berehat enam bulan pada Januari lalu gara-gara retak tulang kaki kiri.

A post shared by Sindhu Pv (@pvsindhu1)