Perjalanan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, terkandas dalam pusingan 16 selepas disingkirkan pemain di kedudukan kelima dunia, Fajar Alfian-Muhammaf Rian Ardianto, dalam Kejohanan Badminton Masters Jepun, di Kumamoto, sebentar tadi.

Tempoh hampir satu jam diperlukan Fajar Alfian-Rian Ardianto untuk menewaskan Man-Tee dalam aksi rubber set 21-17,19-21,21-19 untuk mara ke suku akhir kejohanan berstatus Super 500 itu.

Pasangan beregu negara mendominasi dalam permulaan aksi set pertama untuk mendahului 9-2. Namun, pilihan ketiga kejohanan itu kembali mengejar untuk mengikat wakil negara 12-12 sekali gus menjadi detik kebangkitan Fajar-Adrianto untuk menang 21-17.

Walaupun Man-Tee menerima cabaran sengit dalam awal set kedua, tetapi mereka berjaya bangkit untuk mengheret pemain lawan ke set penentuan dengan kemenangan 21-19.

Kedua-dua pasukan tidak mahu ketinggalan mata dengan terlalu jauh apabila mereka terikat 5-5, tetapi pengalaman wakil Indonesia itu memastikan Man-Tee terpaksa akur untuk tewas 21-19.