Pemain perseorangan para lelaki nombor satu dunia, Cheah Liek Hou, telah kesuntukan masa untuk pulih dari kecederaannya, menjelang kejohanan Terbuka Sepanyol peringkat dua yang bermula 15 April ini.

Ia memerlukan tempoh tiga ke empat minggu untuk tisu ototnya sembuh seperti sediakala.

Sejurus selepas kejohanan tersebut, Liek Hou, hanya mempunyai tempoh dua hari sahaja sebelum meneruskan penyertaannya dalam kejohanan Terbuka Sepanyol peringkat pertama pula, yang bermula 23 April.

Biarpun dilanda kesakitan, pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo itu, tidak memberi sebarang alasan sebaliknya hanya menumpu kepada persembahan terbaiknya pada dua kejohanan yang akan disertainya itu.

"Dari segi fizikal saya rasa masih okay cuma saya ada sedikit kecederaan di bahu. Saya berharap dapat sembuh dengan secepat mungkin dan terus berlatih untuk persedian menjelang Sukan Paralimpik Paris," kata Liek Hou.