Peminat berpeluang menyaksikan Kento Momota beraksi seawal hujung minggu ini selepas pemain Jepun itu baru-baru ini dijemput oleh jaguh dari China, Lin Danm untuk mengambil bahagian dalam kejohanan yang dianjurkannya.

Dalam satu video di media sosial baru-baru ini, Lin Dan dan Momota dilihat sedang menikmati makan malam bersama-sama.

Ketika itulah juara dunia lima kali itu menjemput Momota untuk menyertai Piala LinDan yang akan berlangsung hujung minggu ini di Shenzhen, China.

“Kami telah menganjurkan Piala LinDan di lima lokasi berbeza dalam satu tahun. Hadiah wang untuk juara perseorangan lelaki ialah 200,000 Yuan (RM132,946). Dia dijemput untuk beraksi,” kata Lin Dan kepada Momota melalui penterjemah dalam satu majlis makan malam itu.

“Dia boleh mendapat 1,000,000 Yuan (RM664,733) jika menang dalam lima kejohanan,” tambah Lin Dan sambil tersenyum.


A post shared by LinDan Fans Communication Area (@lindan_fca)



Momota segera bersetuju untuk menyertainya sekiranya dijemput, malah Lin Dan juga menghadiahkan cermin matanya kepada Momota yang agak terkejut dengan tindakannya itu.

Pemain Malaysia, Cheam June Wei, juga dijadual bertanding termasuk pemain Korea Selatan, Lee Dong-keun, Heo Kwang-hee dan Son Wan-ho.

Momota telah bersara secara rasmi daripada badminton antarabangsa selepas beraksi dalam Piala Thomas di Chengdu, bulan lalu di mana dia memenangi semua perlawanannya untuk membantu Jepun mara ke suku akhir.