Pertahanan Sri Pahang, Stefano Brundo, memberikan isyarat dirinya dalam keadaan bersedia untuk membantu pasukan menjelang saingan minggu ke-17 Liga Super 2024/25 berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, malam ini.

Pemain berusia 31 tahun itu kembali memperkuat skuad Tok Gajah usai melalui fasa pemulihan akibat kecederaan sejak September lalu.

Misi besar buat Brundo tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengekang segala peluang yang bakal dicipta oleh Skuad Harimau Selatan selain berharap Tok Gajah mampu mencuri satu mata dari Iskandar Puteri.

Untuk rekod, dia telah membuat sembilan penampilan dengan berjaya menjaringkan empat gol musim ini.







"Secara peribadi saya mahu membantu pasukan dan beri aksi terbaik, saya tahu agak sukar untuk menjaringkan gol dan memberikan bantuan jaringan berdepan JDT tetapi pasukan perlu sentiasa berjuang di atas padang.

"Pasukan perlu tetap berjuang, saya sentiasa optimis. Mereka pernah hilang mata berdepan PDRM juga," katanya.

Dalam pada itu, penjaga gawang Sri Pahang, Zarif Irfan, yang menerima layangan kad merah dalam saingan Piala Malaysia 2024/25 ketika berdepan Perak minggu lalu, tidak akan memberi impak besar buat dirinya untuk mempamerkan aksi terbaik bagi mengekang asakan bertali arus JDT.

Selain Irfan, khidmat Azfar Arif sebagai penjaga gol simpanan turut ditagih bagi aksi malam ini.

"Mungkin saya akan berikan sehabis baik untuk perlawanan ini, kami akan cuba dapatkan mata walaupun bukan mudah beraksi di SSI. Untuk penyokong Tok Gajah, kami akan berikan aksi terbaik nanti." tambahnya.

Ini susulan fokus utama Tok Gajah adalah mahu merebut slot ke separuh akhir Piala Malaysia selepas ini dalam aksi timbal balik kedua bertemu Perak nanti.