Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menanti penuh debar kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Super bermula bulan depan.

Keputusan muktamad mengenai kelulusan itu hanya akan diketahui selepas berakhirnya penilaian empat hari FIFA dalam sesi simulasi VAR di Stadium UiTM Shah Alam esok.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Ketua Pegawai eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, berkata: "Kita tahu Liga Malaysia musim ini akan menggunakan khidmat VAR dalam semua perlawanan.

"Antara pemegang taruh yang perlu diberikan taklimat ialah pemegang taruh selain daripada pengadil yang mendapat latihan daripada FIFA ketika ini.

"Mereka adalah pemegang taruh berbeza seperti seperti media, GC, MC dan juga pundit dan jurulatih.

"Hari ini juga, kami ada taklimat bersama pasukan Kuala Lumpur dan sebelum ini kami sudah selesai memberikan taklimat kepada pasukan Negeri Sembilan.

"Kami juga akan melakukan jelajah buat kesemua pemain dan jurulatih dalam setiap pasukan untuk mereka memahami sistem pengendalian dan implimentasi VAR daripada segi operasi.

"Selain daripada yang kita nampak di atas padang, banyak lagi yang dilakukan di belakang tabir seperti penggunaan mesin komunikasi, bekalan elektrik, daripada segi keselamatan dan platform yang perlu kami tambah."

Mengulas mengenai kelulusan FIFA, Stuart menambah: "Masih terlalu awal untuk saya katakan kerana ia bukan bidang saya.

"Mungkin unit pengadil FAM lebih sesuai untuk membuat penilaian itu.

"Daripada pihak MFL, kami hanya menyediakan teknologi dan keperluan infrastruktur untuk implementasi VAR.

"Kami melakukannya dengan sehabis baik mengikut bajet yang kami ada.

"Tahun pertama pasti akan ada kekurangan dan masalah atau isu yang akan dihadapi tetapi kami akan menghadapinya dengan hati yang terbuka dan tetapan minda untuk mencari penyelesaian terbaik untuk liga kita."