Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, sudah berusaha untuk mendapatkan khidmat pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Feroz Baharudin, untuk tersenarai dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Piala Asia 2023.

Pan-gon telah menyenaraikan skuad Malaysia bagi menghadapi saingan Piala Asia yang dijadualkan pada 12 Januari hingga 10 Februari.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu mengakui beliau sedikit terkilan kerana mereka tidak dapat menggunakan khidmat tiga pemain pertahanan -- Sharul Nazeem Zulpakar, Azam Azmi Murad dan Muhamad Feroz Baharudin.

Kelibat Feroz tidak berada dalam pasukan sebelum ini menjadi perbualan apabila prestasi yang cemerlang ditampilkan di peringkat kelab tidak dapat dilihat sambil menyarung jersi Harimau Malaya.

Pan-gon berkata, "Saya sangat gembira kerana semua pilihan saya dapat, kecuali dua pemain Khairul Nazeem dan Azam Azmi kerana kecederaan, jadi kami tidak boleh pilih, Feroz juga kami cuba dapatkan tetapi dia ada perancangan untuk berkahwin.

"Ia adalah skuad terbaik setakat ini, saya gembira dengan pemilihan ini,” katanya pada hari pertama kem latihan pusat di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.

"Diharapkan pemain berpengalaman ini dapat menggunakan pengalaman mereka untuk memberikan tunjuk ajar dan membimbing pemain muda, supaya lebih tenang dan yakin. Kita belajar sesuatu daripada kejohanan lepas iaitu kita tidak seharusnya terlalu yakin,” katanya.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piasa Asia secara merit, akan menentang Jordan dalam aksi pembukaan Kumpulan E pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali yang juga pasukan pilihan Korea Selatan pada 25 Januari.

Skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Doha pada 1 Januari dan akan menentang Syria dalam perlawanan persahabatan tertutup pada 8 Januari.