Pearly Tan-M Thinaah mengakui tidak dapat menampung keampuhan Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela hingga disingkirkan beregu wanita India itu dalam Final Jelajah Dunia BWF hari ini.

Pengembaraan taruhan utama bahagian wanita kebangsaan itu tamat awal berikutan kekalahan mengejut yang merupakan kegagalan kedua mereka dalam Kumpulan A di Hangzhou.

"Mereka bermula agresif sejak awal permainan, beberapa pukulan mereka ternyata memberi kesukaran kepada kami.

"Kami mungkin terlalu terikut-ikut dengan corak permainan mereka.

"Memang mengecewakan kerana kami hendak sangat melepasi peringkat kumpulan.

"Tapi ini sesuatu yang perlu kami belajar dan terus pandang ke depan," kata Thinaah di Nadi Arena sebentar tadi.

Malah, gandingannya, Pearly, sependapat apabila berkata: "Kepantasan, kekuatan, dengan rali yang bagus telah memberikan tekanan kepada kami."

Pearly-Thinaah akan melengkapkan jadual hari ketiga peringkat kumpulan berdepan wakil tuan rumah, Liu Sheng Shu-Tan Ning, esok.







-