Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, sudah bersedia mengharungi Final Jelajah Dunia BWF di Hangzhou, China minggu depan.

Meskipun hadir selaku pilihan keempat kejohanan, Tang Jie tetap percaya akan kemampuannya mampu melakukan sesuatu sambil menganggap setiap pasangan akan memberi sepenuh jiwa dan raga untuk mencipta kejayaan masing-masing.

"Ia satu pencapaian yang gembira dapat bermain dalam Final Jelajah Dunia BWF. Setiap lawan adalah berbeza.

"Apa yang kami terapkan ketika latihan dan melakukan analisis bakal membantu kami menghadapi lawan itu," katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.



Ee Wei pula mahu memperaga segala tunjuk ajar yang dicurahkan oleh Nova Widianto selain mempunyai harapan besar untuk mengikuti jejak langkah pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Liliyana Natsir.

"Apa yang saya pelajari sewaktu latihan akan digunakan sebaiknya. Kami akan buat yang terbaik," kata Ee Wei di Nadi Arena.