Bekas jurulatih kebangsaan, Dollah Salleh, mempunyai cadangan terhadap pengendali baru pasukan Malaysia, Peter Cklamovski, yang baru diumum oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Jelasnya, beberapa pemain muda yang sedang beraksi dalam Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024 seperti Fergus Tierney, Daryl Sham, Fazrul Amir dan Najmuddin Kamal Akmal perlu diberi perhatian sewajarnya.

"Pemain-pemain tersebut tidak perlu dibiarkan. Beberapa pemain memang layak untuk diberi peluang.

"Saya nampak ada pemain yang harus diketengahkan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.



Pengurus Sri Pahang itu juga tidak memberi sebarang kepastian mengenai sejauh mana kepimpinan yang mampu dibawa oleh bekas pembantu jurulatih Australia itu, namun menganggap pemilihan dia selaku jurulatih akan memulihkan semula prestasi Harimau Malaya sejak ditinggalkan Kim Pan-gon.

"Sedikit sukar apabila membuat pertukaran individu kerana perlu bermula daripada awal. Saya harap pemilihan tersebut tepat oleh FAM," tambahnya.