Selepas dua dekad mendominasi arena perseorangan lelaki dan mengumpul lebih 130 gelaran kerjaya antara mereka, nama Lin Dan dan Datuk Lee Chong Wei akan tercatat dalam Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Majlis rasmi itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 Mei depan.

Kedua-dua pemain -- yang diangkat sebagai antara yang terhebat dalam sukan ini -- akhirnya akan menerima pengiktirafan ini yang dianugerahkan kepada kalangan pemain terbaik.

Kedua-dua bekas pemain handalan itu memulakan kerjaya mereka pada awal milenium sebelum beransur-ansur membuktikan kelas tersendiri mereka dalam kancah berkenaan yang menyaksikan mereka saling bersaing hebat dalam pemburuan gelaran utama.





Lin Dan memenangi lima gelaran dunia dan dua pingat emas Sukan Olimpik, manakala Lee mengumpul tiga kali muncul naib juara dunia selain dua kali memenangi perak Olimpik selepas tunduk kepada wakil China dalam final edisi 2008 dan 2012.

Bagaimanapun, Chong Wei yang digelar sebagai Raja Superseries kerana dia menamatkan kerjayanya dengan 47 gelaran Superseries/World Tour serta menguasai ranking nombor satu dunia selama 349 minggu.

Persaingan kedua-dua pemain itu juga sentiasa menarik perhatian dan mengujakan rakyat Malaysia.

Secara keseluruhan, 'Super Dan' mencatat rekod kemenangan 28-12 ke atas seteru rapatnya itu, namun pemain Malaysia tersebut turut mempunyai detik manis.

Salah satunya pertarungan klasik mereka dalam separuh akhir Sukan Olimpik 2016 di Rio De Janeiro yang diungguli jaguh kebangsaan itu dalam aksi tiga set yang menyayat hati.

Bagaimanapun, Chong Wei terpaksa bersara atas masalah kesihatan disusuli Lin Dan setahun kemudian.

Presiden BWF, Poul-Erik Hoyer -- yang juga merupakan bekas perseorangan lelaki handalan -- memuji kedua-dua pemain itu kerana mengubah landskap sukan berkenaan.

“Lee Chong Wei dan Lin Dan antara duta terulung badminton sepanjang dua dekad yang lalu.
"Dengan persembahan cemerlang mereka, mereka telah menarik seluruh generasi peminat ke sukan ini. Mereka berdua sangat layak untuk dimasukkan ke dalam Dewan Kemasyhuran,” katanya.