Beregu wanita negara, Valeree Siow, mempunyai sasaran tersendiri dengan memberi fokus ketekalan di atas gelanggang selepas diberi peluang beraksi dalam satu acara Kejohanan Badminton Dunia dan Terbuka Jepun 2022.

Pemain di ranking ke-64 dunia itu beraksi dalam dua acara, iaitu beregu campuran di samping Chen Tang Jie selain beraksi dalam acara beregu wanita bersama Low Yeen Yuan.

Justeru, Valeree bertekad memberi tumpuan perlawanan demi perlawanan apabila enggan memberi tekanan kepada dirinya sendiri dengan kemungkinan bakal berdepan rakan senegara, Pearly Tan-M. Thinaah, dalam pusingan kedua Kejohanan Dunia yang bermula minggu depan.

"Saya teruja untuk membuat penampilan pertama dalam kejohanan ini.

"Kami tidak akan melihat jauh dan fokus kepada satu persatu perlawanan.

"Bukan mudah untuk beraksi dalam dua acara kerana mental dan fizikal perlu lebih penat.

"Jadi dengan beraksi dalam beregu wanita sahaja pada kali ini bolehlah saya memberikan tumpuan penuh," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.