Trofi Tuanku Muhriz 2024 yang bermula hari ini menjadi tumpuan pemain dunia apabila turut menggamit pemain lelaki Hong Kong, Tsz Kwan Lau, selain bintang muda tempatan, Aifa Azman, sebagai pilihan kategori wanita.

Sebanyak 12 wakil dari negara berbeza akan menghantar wakil untuk merebut hadiah kemenangan bernilai USD16,000 (RM70,000) dalam kejohanan yang memasuki edisi ketiga ini selain sempena ulang tahun penubuhan ke-25 Persatuan Skuasy Negeri Sembilan.

Edisi sebelum ini menyaksikan Abhay Singh dari India mendominasi gelaran lelaki pada 2022 disusuli Ali Hussein (Mesir) pada 2023, manakala gelaran wanita pernah diraih disandang oleh pemain negara, Aira Azman pada 2022 dan S. Sivasangari setahun kemudian -- kemenangan pertamanya selepas terbabit dalam kemalangan kereta pada 2022.




Presiden Persatuan Skuasy Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz, menyatakan keterujaan baginda terhadap penganjuran ini dengan bertitah: “Piala Tuanku Muhriz pantas menjadi kejohanan penting dalam kalendar skuasy antarabangsa. Kami berbangga untuk menjadi tuan rumah kepada pemain-pemain berbakat yang hadir di Negeri Sembilan.





"Kejohanan ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada skuasy secara gobal malah turut menekankan komitmen kami untuk memupuk dan mempromosikan sukan di rantau ini. Kami berharap untuk menyaksikan satu kejohanan yang luar biasa, selain melihat Piala Tuanku Muhriz akan terus berkembang pada tahun-tahun mendatang."

Kejohanan yang akan dilangsungkan di Sekolah Menengah Chuang Hua, Seremban, ini akan dirasmikan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.